Print

MELESTARIKAN SENI KHAT DAN JAWI

2016 1 KHAT

“Melentur buluh biarlah dari rebungnya” sesuai dengan peribahasa Melayu ini, seramai 27 orang anak muda dari Kursus Berkredit Tulisan Jawi dan Khat, Pusat Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia telah memilih kanak-kanak dari SK Pintas Raya, Parit Raja, Batu Pahat, Johor untuk bersama menjayakan program Melestarikan Seni Khat dan Jawi bagi sesi 2015/2016. Bertempat di dewan SK Pintas Raya, Parit Raja pada 14 Mei 2016 yang lalu, program yang berunsurkan kemasyarakatan ini telah berjaya mencapai objektif utamanya iaitu menyuntik semangat cintakan seni kaligrafi Islam iaitu tulisan khat dan jawi kepada masyarakat seawal usia kanak-kanak lagi.

Dunia globalisasi yang kian mencabar memerlukan generasi muda bangkit menonjolkan bakat seni kreatif yang terpendam di samping menanam sikap prihatin terhadap masyarakat sekeliling. Dengan kerana itu, Pusat Kokurikulum, UTHM sentiasa memberi galakan dan memupuk kesedaran kepada pelajar bahawa peranan mereka bukan sekadar di sekitar ruang lingkup kuliah malahan sebagai agen penggerak masyarakat. Golongan muda masa kini juga bukan sahaja tertumpu kepada pembelajaran sepenuhnya di dalam kelas, tetapi mereka perlu menyertai aktiviti kemasyarakatan bagi memantapkan keyakinan diri mengasah kemahiran dan mempraktikkan teori yang dipelajari di kelas di samping dapat menimba pengalaman baharu (Experiential Learning) bagi setiap aktiviti yang dilaksanakan. Dengan ini secara langsung pelajar-pelajar dilatih untuk melaksanakan tugasan secara intelektual dan bersedia mengatasi segala permasalahan yang dihadapi dengan kritis dan kreatif untuk memastikan program yang dilaksanakan berjalan dengan jayanya.

2016 2 KHAT

Aktiviti yang disediakan dalam program ini memerlukan peserta dari kalangan pelajar Kursus Berkredit Tulisan Jawi dan Khat, Pusat Kokurikulum, UTHM bekerjasama dengan para pelajar SK Pintas Raya, Parit Raja bertanding menyiapkan poster khat dalam kumpulan. Setiap pelajar dibahagikan kumpulan di mana setiap daripadanya dianggotai oleh pelajar UTHM dan SK Pintas Raya. Poster yang terpilih akan disumbangkan kepada pihak sekolah untuk menyerikan lagi surau yang baru dibina di sekolah tersebut. Ternyata program ini mencapai impaknya di mana para pelajar saling berkongsi idea dan pengalaman semasa program berjalan. Turut diserikan dalam program ini adalah demonstrasi khat serta perkongsian tentang ilmu seni khat oleh bekas pelajar Kursus Berkredit Tulisan Jawi dan Khat, Pusat Kokurikulum, UTHM saudara Asrol Hakimi bin Asaari, 22 yang kini sedang menjalankan perniagaan kecil-kecilan menghasilkan poster hiasan khat di atas kanvas.

Berkongsi pandangan mengenai program ini, selaku Pengarah program, yang juga merupakan pelajar tahun satu di UTHM Ahmad Fathanah bin Mohd Zahari,19, berkata “bidang seni kaligrafi Islam ini sangat mencabar dan menguji kesabaran terutama bagi pelajar jurusan kejuruteraan seperti kami, namun ianya tidak mematahkan semangat malah menjadi pembakar semangat untuk terus menanam rasa cinta kepada bidang ini seterusnya dapat berkongsi rasa tersebut dengan masyarakat sekeliling”

“ pembelajaran dalam dewan kuliah adalah sangat penting dan perkongsian pengalaman melalui program luar seperti ini lebih bermakna kerana ia mampu menambah keyakinan serta mengasah kemahiran insaniah di kalangan para pelajar. Selain itu, ianya melatih pelajar mengendalikan program serta bekerjasama dengan masyarakat setempat untuk menyemarakkan lagi semangat cintakan salah satu daripada cabang kesenian Islam iaitu seni khat di kalangan generasi muda masa kini”.

SUMBER : Nurulisyazila Othaman