Print

KOMPANG BAKAL DIPALU DI JEPUN

JEPUN

BATU PAHAT - Warga Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terdiri daripada 13 penuntut dan empat pensyarah mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi jemputan khas sempena perasmian Pra Olimpik Jepun 2020.

Mereka akan mempersembahkan muzik tradisional Melayu iaitu kompang dalam majlis itu nanti dan paling istimewa membawa lagu ‘enjit-enjit semut’ yang diminta masyarakat di sana.

Pengarah Program Mobiliti Antarabangsa Jepun Jarayawara UTHM-TUFS, Akmal Hafiz Jamhari berkata, majlis gilang-gemilang itu diadakan secara terbuka kepada orang awam bermula hari ini sehingga 27 Julai dan turut dihadiri Datuk Bandar Tokyo/Chofu.

Menurutnya, lebih membanggakan ia merupakan program terbesar dalam kalender Jepun untuk tahun ini dan dijangka mendapat liputan meluas media di negara matahari terbit itu.

“Majlis akan dimulakan dengan majlis perasmian iaitu perarakan masuk paluan kompang delegasi mobiliti UTHM sambil mengenakan baju Melayu lengkap.

“Manakala persembahan bunga api gergasi di Perairan Sungai Tama pula menjadi acara penutup majlis. Di pertengahan acara, mahasiswa UTHM sekali lagi diberi penghargaan untuk mengajar kanak-kanak sekolah rendah cara bermain kompang.

“Menariknya, kanak-kanak sekolah rendah ini akan bermain kompang sambil memakai pakaian Melayu lengkap sumbangan daripada delegasi mobiliti,” katanya semasa sidang media di UTHM, semalam.

Ketua delegasi, Dr Khairunesa Isa berkata, objektif program mobiliti itu adalah untuk memperkenalkan dan menyebar luaskan budaya Melayu melangkaui sempadan.

Katanya, membawa tema 'Jerayawara Melayu UTHM-TUFS-CHOFU', aktiviti utama yang dirancang dalam program itu adalah berkongsi pengetahuan tentang budaya Melayu bersama pelajar Jabatan Pengajian Bahasa Melayu di Tokyo University of Foreign Studies (TUFS).

“Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah penulisan khat, cara berdebat Melayu dan cara bermain kompang. Undangan saat akhir daripada Majlis Daerah Chofu untuk mengadakan persembahan kompang menyemarakkan lagi semangat delegasi UTHM untuk berkongsi nilai budaya Melayu di mata dunia.

“Tambahan dengan undangan ini secara langsung dapat menaikkan nama UTHM iaitu sebuah universiti teknikal yang mampu memperkenalkan budaya Melayu di mata dunia,” katanya.

Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK) UTHM, Prof Dr Rosman Md Yusoff dalam amanatnya bersama delegasi menyifatkan undangan membuat persembahan di hadapan lebih 10,000 penonton di Jepun adalah penghargaan yang cukup bermakna kepada penuntut dan juga rakyat Malaysia

“Bukan mudah untuk mendapat peluang mengadakan persembahan tradisional budaya Melayu di negara maju.

“Ini harus dijadikan platform mempromosi nilai lokal budaya Melayu yang terkenal dengan keunikan tersendiri ke pentas antarabangsa, apatah lagi ruang juga dibuka oleh penganjur untuk penuntut UTHM menunjuk ajar kanak-kanak di Daerah Chofu bermain kompang,” katanya.

SUMBER - 24 JULAI 2017 SINAR HARIAN