Print

MAHASISWA UTHM KE JEPUN – KONGSI NILAI BUDAYA MELAYU

jepun 21

Batu Pahat – Bagi memperkenal, menyebarluas dan berkongsi nilai-nilai budaya Melayu bersama masyarakat luar, seramai 14 mahasiswa, tiga orang pegawai pengiring Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum dan seorang pegawai perhubungan dari Pusat Pengajian Bahasa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengambil inisiatif dengan menyertai program mobiliti berkredit outbond UTHM-TUFS, Jepun pada 21 hingga 27 Julai 2017 lalu.
 
Program mobiliti yang diketuai oleh Ketua Jabatan Kepimpinan, Khidmat Komuniti, Pengucapan Awam dan Kemahiran, Dr. Khairunesa Isa ini merupakan program mobiliti outbound sulung Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK).
 
Selaras dengan Visi PPUK untuk menjadi pusat akademik bertaraf dunia yang memupuk atribut holistik dan mandiri dalam kalangan graduan untuk kebaikan kehidupan sejagat, program yang bertemakan “Jerayawara Melayu UTHM-TUFS-CHOFU” ini dilihat sebagai program rintis bagi melihat impaknya kepada mahasiswa dan juga universiti.
 
Beberapa aktiviti menarik telah dilaksanakan dalam program ini antaranya mengadakan aktiviti perkongsian ilmu pengetahuan di Tokyo University of Foreign Studies (TUFS). Dalam program ini, pelajar Jepun yang mengambil kursus Bahasa Melayu telah berdebat dengan pelajar UTHM manakala sebahagian lagi pelajar TUFS diajar menulis tulisan khat. Program yang berlangsung selama hampir empat jam itu diakhiri dengan Majlis Pra Perasmian FIESKOM 2017 oleh Profesor Soda iaitu Ketua Jabatan Pengajian Bahasa Melayu di TUFS. Dengan berlangsungnya perasmian ini secara tidak langsung mengangkat FIESKOM 2017 anjuran PPUK sebagai program di peringkat antarabangsa.
 
Selain itu, peserta mobiliti turut menerima jemputan daripada Sekolah Rendah Jindaiji untuk berkongsi tentang keunikan seni gendang budaya. Bermula dengan sesi pengenalan terhadap Malaysia dan UTHM, anak-anak samurai di sana juga diperkenalkan dengan manual membuat kompang dan kemahiran bermain kompang. Apa yang menarik, pelajar UTHM dan  pelajar Sekolah Rendah Jindaiji telah membuat persembahan dengan menggabungkan antara gendang Jepun dan kompang Malaysia.