Skip to main content

LATAR BELAKANG

Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum

Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah ditubuhkan pada 1 Ogos 2016 hasil gabungan Pusat Kokurikulum dan Jabatan Pengajian Umum. PPUK bertanggungjawab dalam mengurus dan mengendalikan kursus-kursus di bawah Pengajian Umum serta Kokurikulum Berkredit (KKB) kepada pelajar.

Pengajian Umum mempunyai 2 jabatan di bawahnya iaitu Jabatan Sains Sosial dan Jabatan Pengajian Islam. Kedua-dua jabatan ini menawarkan kursus-kursus wajib universiti di peringkat ijazah sarjana muda dan diploma. Jabatan Sains Sosial menawarkan 3 kursus kepada pelajar sarjana muda iaitu Kenegaraan dan Pembangunan Mutakhir Malaysia (3 kredit), Hubungan Etnik (2 kredit), Malaysian Studies and Culture untuk pelajar asing (3 kredit) dan 1 kursus lagi untuk pelajar diploma iaitu Pengantar Kenegaraan dan Pembangunan Malaysia (3 kredit).

Sementara Jabatan Pengajian Islam menawarkan 5 kursus wajib universiti yang ditawarkan di peringkat sarjana muda dan diploma. Kursus Pengajian Islam (2 kredit) ditawarkan di peringkat ijazah sarjana muda, manakala Pengantar Pengajian Islam (2 kredit) ditawarkan di peringkat diploma yang mana semua kursus ini ditawarkan kepada pelajar yang beragama Islam. Bagi pelajar bukan beragama Islam pula ditawarkan Kursus Pengajian Moral (2 kredit) di peringkat sarjana muda dan Kursus Pengantar Pengajian Moral (2 kredit) bagi diploma. Bagi Kursus Falsafah dan Isu Semasa (2 kredit), ia ditawarkan kepada semua pelajar sama ada di peringkat ijazah sarjana muda dan diploma.

Dalam pada itu, Kursus Kokurikulum Berkredit (KKB) yang ditawarkan di bawah Kokurikulum adalah melibatkan 10 teras iaitu teras keusahawanan, daya usaha dan inovasi, sastera liberal, pengucapan awam, khidmat komuniti, kepimpinan, kemahiran, sukan, kebudayaan, serta kesukarelawanan. Sejumlah 141 KKB adalah diperkenalkan dengan melibatkan lebih 120 orang jurulatih dan tenaga pengajar bagi mengendalikan kursus-kursus yang ditawarkan. Manakala jumlah pelajar yang mengambil KKB di bawah kokurikulum pula melebihi 4,000 orang pada satu-satu masa.

Penilaian KKB ini dijalankan secara berterusan mengikut rubrik yang telah dibangunkan oleh PPUK merangkumi kriteria kemahiran, bidang dan kemahiran insaniah. Penilaian berdasarkan Kemahiran Insaniah ini bertujuan untuk memastikan pelajar mampu mencapai tahap terampil sekurang-kurangnya mencapai Kemahiran Insaniah Mesti (KKM) iaitu kemahiran komunikasi (CS), pembelajaran sepanjang hayat (LLL), kerja berpasukan (TS), pemikiran kritis dan penyelesaian masalah (CTPS), keusahawan (ES), etika dan moral profesional (E&MP) serta kepimpinan (LS).